Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup anda, mesti pernah terlintas untuk membuat pembiayaan peribadi bukan? Sama ada untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, mahu membeli sebidang tanah di kampung, mahu menjelaskan hutang kad kredit atau mahu membeli perabot bagi melengkapkan rumah yang baru dibeli, pembiayaan peribadi sudah tentunya menjadi salah satu pilihan yang bermain di fikiran.
Cuma, pembiayaan peribadi yang bagaimana yang patut anda pilih? Setelah membuat sedikit pembacaan dan kajian, anda baru tahu yang rupa-rupanya produk pembiayaan peribadi ini ada bermacam jenis dan rupa. Ada yang kadar faedahnya rendah tapi tempoh pembayaran baliknya singkat. Ada yang kadar faedahnya tinggi tetapi anda diberi fleksibiliti dalam tempoh untuk melunaskan pinjaman. Ada yang menawarkan rebat dan hadiah percuma. Ada juga yang mengenakan denda sekiranya anda mahu menjelaskan jumpah pinjaman lebih awal!
Tetapi yang lebih penting daripada itu, anda baru tahu yang rupa-rupanya pembiayaan atau pinjaman peribadi ini secara amnya terbahagi kepada dua; produk pembiayaan Islamik (patuh syariah) dan konvensional (tidak patuh syariah).
Sekali pandang, macam tiada beza antara produk Islamik dengan konvensional, malah kadangkala, produk konvensional tampak lebih murah dan menarik. Tetapi jauh di sudut hati anda, sebagai seorang Muslim, anda tahu yang anda perlu memilih produk pembiayaan yang patuh syariah.
Persoalannya, adakah beza antara kedua produk ini sekadar pada hukum halal-haramnya, atau lebih lagi daripada itu?
Mari kita lihat beberapa perbezaan ketara antara produk pembiayaan patuh syariah dengan konvensional:
| Produk Islamik | Produk Konvensional | |
1. | Kemudahan | Pembiayaan Peribadi | Pinjaman Peribadi |
2. | Kontrak | Tawarruq* atau Bai’ al-Inah* | Pinjaman |
3. | Keuntungan | Terhasil daripada jualan | Terhasil daripada faedah atas transaksi pinjaman |
4. | Amaun Yang Perlu Dibayar | Amaun adalah tetap sepanjang tempoh pembiayaan atau dikurangkan/diberikan rebat sekiranya pelanggan membayar keseluruhan pembiayaan lebih awal | Amaun akan berubah mengikut perubahan Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate ’BLR’) |
5. | Lewat Bayar | Gantirugi (ta’widh*) akan dikenakan | Penalti dalam bentuk ‘compounding’ akan dikenakan |
6. | Penyelesaian Awal (Early Settlement) | Boleh nikmati ‘ibra’ (rebat) ke atas harga jualan sekiranya pembiayaan itu diselesaikan lebih awal daripada jadual pembayaran balik tanpa dikenakan sebarang penalti | Ada penalti kalau buat penyelesaian awal dalam ‘lock-in’ period |
7. | Insurans | Takaful | Konvensional |
*Nota:
- Tawarruq: Pembelian dan penjualan dengan dua peringkat urus niaga. Pada peringkat pertama, Bank membeli aset dan menjualnya kepada pelanggan mengikut syarat bayaran tertunda. Pada peringkat kedua, pelanggan akan menjual pula aset tersebut pada kos dan secara tunai kepada pihak ketiga.
- Bai al-Inah: Pembiayaan yang melibatkan akad jual beli yang disusuli dengan pembelian semula oleh penjual pada harga yang berbeza. Penjual menjual aset kepada pembeli secara pembayaran tertangguh dan kemudian membelinya semula secara tunai pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan secara tertangguh
- Taawidh: Gantirugi yang dikenakan ke atas kerugian sebenar yang dialami oleh bank disebabkan oleh kelewatan dan kelalaian pelanggan dalam melaksanakan bayaran pembiayaan. Hasil taawidh ini akan disalurkan ke Baitulmal dan tidak dikira sebagai keuntungan bank.
Daripada sini kita dapat lihat, pembiayaan patuh syariah mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada pada produk konvensional. Antaranya adalah peminjam tidak akan dikenakan denda sekiranya mampu untuk menjelaskan keseluruhan pinjaman lebih awal. Peminjam juga tidak perlu risau yang amaun pembiayaannya akan berubah-rubah kerana amaun sudah ditetapkan sejak awal lagi. Namun, yang lebih utama dan perlu kita berikan perhatian adalah produk pembiayaan peribadi yang patuh syariah adalah bebas riba’. Sememangnya produk perbankan Islamik lebih menjaga kebajikan para pelanggannya kerana ia direka untuk memenuhi tuntutan maqasid syariah. Dan sudah tentu ia menjaga kita daripada melanggar hukum dan syariat Islam seperti yang termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.